Go HoME

Sunday 29 November 2009

BAB1

PENGENALAN

1.1 Latar Belakang Kajian

Kajian ini fokus mengenai dasar luar Indonesia pada era pemerintahan Suharto iaitu pada tahun 1967-1998. Kajian ini membincangkan dasar-dasar luar yang pernah beliau laksanakan dan seterusnya menganalisis mengenai faktor-faktor yang telah mempengaruhi dasar luar tersebut. Analisis yang diberi perhatian adalah mengenai faktor-faktor seperti ideosinkratik, domestik dan sistemik seperti yang dikemukakan oleh Sarjana Rosenau dalam “theory of pre-theory”. Dalam hal ini, penulisan ini turut melihat bagaimana pembentukan dasar luar bagi sesebuah Negara yang sedang membangun seperti Indonesia dan sejauhmanakah kesannya terhadap politik, ekonomi dan sosio-budaya hasil daripada dasar yang dilaksanakan.

1.2 Objektif Kajian

Objektif Kajian ini adalah;

1. Membincangkan dasar-dasar luar Indonesia di bawah pentadbiran Suharto 1967-1998.

2. Menganalisis faktor-faktor yang telah mempengaruhi dasar luar Suharto.

1.3 Persoalan Kajian

Persoalan Kajian ini adalah sejauhmanakah faktor idiosinkratik, sistemik, dan domestik penting dan saling berkaitan dalam mempengaruhi dan menentukan dasar luar negara sedang membangun.

1.4 Skop Kajian

Skop kajian ini adalah mengkaji dasar luar Indonesia dan faktor-faktor yang mempengaruhinya dalam tempoh masa pentadbiran Suharto dari Mac 1967 hingga 1998.

1.5 Andaian Asas Kajian/ Proposisi

Proposisi kajian ini adalah;

1. Ideosinkratik merupakan antara faktor yang mempengaruhi dasar luar Indonesia.

2. Faktor Sistemik dan faktor domestik juga memberi kesan terhadap dasar luar Indonesia dan mempengaruhi faktor idiosinkratik.

1.6 Pendekatan Teori

Dalam kajian mengenai dasar luar, terdapat beberapa teori penting dalam menjadi panduan menganalisis dasar luar dengan lebih sistematik dan berkesan. Theory and Pre-Theory yang telah dikemukakan oleh James Rosenau iaitu beliau telah menganalisis bahawa terdapat 5 faktor yang sesuai digunakan dalam membincangkan dasar luar iaitu;

1. Idiosyncratic

2. Societal (Domestik)

3. Systemic

4. Governmental

5. Role Variable

Theory and Pre-Theory Rosenau penting dalam mengkaji dasar luar kerana terdapat beberapa elemen yang sesuai dalam mengkaji dasar luar negara sedang membangun seperti Inonesia. Tambahan disini, tidak semua faktor yang dinyatakan dalam analisis Rosenau dapat diaplikasikan dalam menerangkan serta membincangkan dasar luar Indonesia era pemerintahan Presiden Suharto. Justeru, dalam kajian ini hanya beberapa faktor yang diberi keutamaan seperti faktor Ideosinkratik, societal dan sistemik. Dalam kajian teori “pre-theory” Rosenau, beliau mengatakan bahawa;

“to identify factors is not to trace their influence. To uncover process that affect external behaviour is not to explain how and why they are operative under certain circumstances and not under others. To recognize that foreign policy is shaped by internal as well as external factors is not to comprehend how the two intermix or to indicate the conditions under which one predominates over the others”.[1]

Faktor Idiosinkratik adalah bermaksud faktor keperibadian dalam mempengaruhi dasar luar sesebuah negara. Perihal ini adalah penting untuk memahami sesebuah dasar luar antarabangsa. Ideosinkratik adalah berkaitan dengan persepsi, imej dan ciri-ciri peribadi pembuat-pembuat keputusan seperti sikap berhati-hati, terburu-buru, berlembut, tegas, dan sebagainya[2]. Dalam hal ini, tidak dapat dinafikan bahawa ciri-ciri psikologi dan kecenderungan ideologi pemimpin dan pembuat dasar mempunyai pengaruh yang besar ke atas dasar-dasar yang dibentuk.

Akan tetapi, adalah sukar untuk mengukur faktor-faktor yang berkaitan dengan ciri-ciri tersebut namun bolehlah diandaikan bahawa faktor idiosinkratik ini adalah berkesan apabila keputusan dibuat dalam situasi krisis daripada keputusan “pragmatic” . dalam sesuatu krisis, wujudnya ancaman dan kesuntukan meletakkan beban, membuat keputusan di atas bahu pemimpin negara dan beberapa penasihat. Lantaran itu, keputusan-keputusan ini akan menampakkan sifat dan sikap seseorang pemimpin.

Menurut analisis Mokhtar[3], faktor idiosinkratik ini dikatakan lebih menonjol di negara-negara autoritarian jika dibandingkan dengan negara-negara demokrasi di mana wujudnya “check and balance” dalam kerajaan serta pengaruh akhbar, kumpulan-kumpulan pendesak, dan rakyat. Namun, tidak dapat dinafikan bahawa faktor idiosinkratik ini turut wujud di negara yang mengamalkan demokrasi. Tambahan disini, ideosinkratik boleh dijelaskan atau didefinisikan sebagai kualiti yang terdapat dalam sifat, diri setiap individu yang bertindak sebagai pemimpin sesebuah negara. Dengan kata lain, imej seseorang pemimpin juga mempengaruhi dasar luar terutamanya dari segi penampilan, kewibawaaan, cara berdiplomasi dan sebagainya. Sebagai contoh mengenai keputusan idiosinkratik adalah dalam kes Saddam Hussein semasa menangani krisisnya dengan Kuwait.

Faktor domestik atau dalaman turut dilihat mempengaruhi sesebuah dasar luar dan hal ini turut menjadi penekanan dalam analisis teori “pre-theory” Rosenau dan turut disokong oleh kajian Valerie M. Hudson, Mokhtar, Leo Suryadinata dan Mohd Noor Yazid. Valerie M. Hudson telah memperincikan kepentingan faktor domestik dalam kajian “levels of analysis’” di mana beliau membahagikan beberapa aktor domestik yang penting dalam mempengaruhi sesebuah keputusan dasar luar seperti;

“The executive branch of government, The legislative branch, The judicial branch, Political parties (their factions and wings), Business and business coalitions, Political actions group, The media, Unions, State governments, Powerful/ influences individuals (such as the senate majority leaders, former presidents, etc), Epistemic communities (such as enviromental scientists), Religious group, Criminal and terrorist forces”.[4]

Valerie M. Hudson melihat faktor-faktor domestik ini amat mempengaruhi sesebuah dasar luar negara. Selain daripada itu juga, faktor domestik ini boleh diperjelaskan iaitu faktor yang terdiri daripada banyak ciri-ciri kebangsaan yang boleh mempengaruhi dasar luar.[5] Faktor domestik atau dalaman ini turut meliputi aspek-aspek seperti alam sekitar, saiz, kedudukan geografik, bentuk muka bumi, iklim dan sumber-sumber negara-bangsa. Selain itu juga, faktor lain yang turut dicakupi oleh faktor domestik adalah seperti ciri-ciri kependudukan misalnya saiz dan kepadatan penduduk serta statistik utama penduduk seperti pengagihan umur, tahap celik huruf, dan kesihatan.[6]

Keluaran negara kasar, keupayaan industri dan pertanian, tingkat pembangunan ekonomi, keupayaan tentera adalah beberapa lagi jenis faktor domestik yang turut dijadikan kajian. Begitu juga sistem politik, ekonomi, dan sosial sesebuah negara-bangsa mempunyai pengaruh kuat ke atas pembentukan dasar luar. Sebagai contoh yang jelas adalah seperti dasar luar negara diktator yang dilihat mungkin mengamalkan dasar berhati-hati atau perluasan kuasa. Negara komunis pula selalunya mengamalkan dasar luar ekonomi bagi mencapai tujuan politik dan di negara kapitalis pula badan-badan swasta selalunya bebas dari kawalan kerajaan dilihat dapat mempengaruhi dasar luar nagaranya bagi kepentingan korporat. Faktor-faktor lain yang turut dicakupi dalam faktor domestik adalah ciri penduduk, budaya, keinginan bersama dan sejarah negara. Dalam hal ini, ciri penduduk merupakan satu konsep yang terpendam dan sukar diperkatakan. Hal ini membayangkan sifat semulajadi sesebuah negara.

Faktor yang terakhir dalam kajian ini adalah faktor sistemik atau luaran. Selain itu faktor ini turut dikenali sebagai faktor pengaruh antarabangsa. Faktor ini menunjukkan bahawa perubahan yang berlaku pada sistem antarabangsa akan memberi kesan ke atas dasar luar sesebuah negara. Faktor sistemik ini juga dilihat lebih banyak menyekat negara-negara kecil terutamanya negara sedang membangun berbanding negara-negara maju. Selain daripada itu juga, faktor ini dilihat sangat mempengaruhi dasar luar sesebuah negara sebagai contoh, kesan “balance of power” atau keseimbangan kuasa terhadap dasar luar sesebuah negara adalah berbeza jika dibandingkan semasa era Perang Dingin. Dalam hal ini, keseimbangan kuasa dalam sesebuah dasar luar adalah lebih ketat dan condong ke arah pakatan tertentu.

Dalam kajian ini, dapat disimpulkan bahawa teori “pre-theory” Rosenau dilihat penting dalam kajian dasar luar. Dalam kajian dasar luar Indonesia ini, faktor seperti idiosinkratik, domestik dan sistemik dilihat amat mempengaruhi dasar luar negara sedang membangun seperti Indonesia. Faktor lain seperti governmental dan role variable dilihat masih lagi lemah dalam struktur negara sedang membangun dan dilihat hanya sesuai dalam menganalisis negara yang maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah. Selain itu dianalisiskan bahawa ketiga-tiga faktor ini adalah saling berkaitan dimana faktor idiosinkratik bukanlah faktor yang boleh berdiri dengan sendiri tanpa sokongan daripada faktor domestik dan faktor sistemik.

1.7 Sorotan Literatur

Leo Suryadinata[7] membincangkan mengenai Politik Dasar Luar semasa pentadbiran Suharto. Dalam penulisan beliau, peranan Suharto dilihat penting dalam menjadi asas kepada pembentukan dalam sesebuah dasar luar Suharto. Beliau menjelaskan bahawa;

“...munculnya Soeharto, yang seringkali mengambil jarak dengan militer, sebagai seorang perumus politik luar. Adalah tidak mudah untuk mencatat peranan Soeharto dalam politik luar negeri Indonesia, tetapi dalam banyak kasus, seseorang akan melihat dengan jelas arahan tangannya...” [8].

Dalam penulisan Suryadinata ini, banyak menyentuh dasar luar yang dilihat hasil keputusan Suharto. Suryadinata turut menyentuh mengenai kepentingan faktor ideosinkratik dalam mempengaruhi dasar luar Indonesia dimana beliau menegaskan bahawa;

“...Selain karya Wilkinson dan Scheinman, karya James N. Rosenau, “Scientific Study of Foreign Policy” [9] juga berguna. Saya, khususnya, tertarik pada faktor “idiosinkratik” (idiosincratic) yaitu faktor keperibadian dalam politik luar negeri, yang penting untuk suatu pemahaman yang mendalam mengenai politik luar negeri Suharto.” [10]

Jelas disini penulisan Suryadinata memfokuskan peranan Idiosinkratik dalam mempengaruhi dasar luar Suharto. Selain itu juga, beliau telah mengariskan bahawa kajian mengenai dasar luar Indonesia di bahagikan kepada dua terma iaitu makro dan mikro. Kajian Makro boleh dirujuk seperti kajian oleh Franklin Weinstein, Anak Agung Gde Agung dan Michael Leifer yang sebahagian besarnya telah membincangkan dasar luar Indonesia secara umum manakala kajian Mikro ditulis oleh Jon M. Reinhardt, J.A.C. Mackie, David Mozingo, Dewi Fortuna Anwar[11] dan lain-lain yang fokus terhadap topik dan tema-tema tertentu.

Joseph Chinyong Liow[12] dilihat membincangkan mengenai hubungan politik antara negara iaitu antara Indonesia dan Malaysia. Penulisan beliau secara langsung memberikan penjelasan secara komprehensif mengenai hubungan Indonesia-Malaysia yang fokus mengenai bagaimana pembentukan hubungan ini berlangsung sejak 50 tahun lepas. Beliau yakin bahawa hubungan antara dua entiti negara serantau ini terhasil dengan pelbagai rentetan peristiwa yang membawa hubungan yang tegang seperti pertelingkahan serta hubungan yang akrab yang membentuk kerjasama serantau.

Selain daripada itu, Joseph menerangkan mengenai hubungan Indonesia-Malaysia secara teoritikal serta mengenegahkan sejarah diplomatik antara dua buah negara. Beliau turut mengatakan bahawa hubungan kedua-dua negara ini dilihat sebagai berlandaskan faktor sejarah yang sedikit berbeza dan pekara ini menjadi kunci kepada hubungan bilateral “post-kolonial” sifatnya. Tambahan, beliau banyak menyentuh mengenai sentimen nasionalisme dalam megaitkan hubungan kedua-dua negara.

Joseph turut mengatakan bahawa hubungan Indonesia dan Malaysia mula dibentuk semula atau apa yang beliau katakan sebagai Re-building the “special relationship” ini telah berlangsung pada tahun 1966 sehingga 1980. Pendekatan yang beliau kemukakan hampir sama dengan konsep hubungan harmoni dan kerjasama dalam penulisan Mohd Noor Yazid[13] megenai peralihan era perubahan hubungan Indonesia-Malaysia daripada hubungan yang tegang atau “confrontation period” pada tahun sebelum 1965 kepada hubungan yang diwarnai dengan “harmony and co-operation” selepas tahun 1965.

Penulisan Vatikiotis[14] amat penting sebagai panduan terutamanya dalam menghasilkan sebuah penulisan yang melibatkan ketokohan Suharto dalam politik di Indonesia. Buku ini lebih memfokuskan idea-idea suharto dalam politik Indonesia dan kesan politik Indonesia hasil daripada pembentukan dasar yang Suharto laksanakan. Selain itu, penulisan ini telah menyentuh mengenai aspek-aspek seperti pembangunan yang telah di rancang dan juga pelbagai tekanan yang di hadapi oleh Suharto semasa era pemerintahannya terutamanya mengenai “Order Baru” yang dilaksanakan. Penulisan Vatikiotis sendiri dilihat amat penting dalam kajian mengenai dasar luar dan politik Indonesia terutamanya semasa era Suharto kerana kajian beliau dilihat bersifat menyeluruh mengenai Order Baru dan tekanan domestik serta antarabangsa dalam arena politik Indonesia.

Senario politik semasa peralihan kuasa antara Presiden Sukarno kepada Suharto merupakan era yang mencabar dalam sejarah politik Indonesia. Pembentukan dan penghasilan pemerintahan berlandaskan Order Baru bagi mengantikan Order Lama semasa pemerintahan Sukarno dilihat bukan tugas yang mudah. Pelbagai cabaran yang dihadapi oleh Suharto serta beberapa kontroversi dilihat jelas semasa kejatuhan Sukarno dalam kerajaan. Keruntuhan “demokrasi terpimpin” Sukarno dilihat cabaran bagi Sukarno dalam membentuk dasar-dasar sama ada dasar domestik mahupun dasar antarabangsa sifatnya.

Tekanan yang kuat daripada fenomena dalaman yang dilihat perlu diperbetulkan mengenai penghapusan saki baki komunis dalam parlimen dan pengaruh komunisme yang dilihat masih lagi menebal semasa awal pemerintahan Suharto dilihat cabaran yang getir bagi kerajaan pimpinan Suharto. Selain daripada itu, tekanan dan desakkan yang inginkan perubahan dalam setiap tindakan kerajaan ke arah yang lebih baik sering menjadi perdebatan dalam penulisan Vatikiotis. Desakkan domestik daripada golongan terpelajar yang terdiri daripada suara mahasiswa, parti-parti yang bersifat agama seperti Masyumi dan Nahdlatul Ulama dilihat penting dalam menekan pemimpin untuk membuat serta merubah sesebuah dasar.

Valerie M. Hudson[15] telah memperlihatkan penulisan secara kritikal mengenai analisis dasar luar yang bersifat klasik dan kontemporari. Selain itu juga, penulisan beliau penting dalam mengaitkan dasar luar yang dilaksanakan oleh Suharto. Hudson mengaitkan teori-teori dalam pembentukan sesebuah dasar luar dan hal ini kerana pelbagai element yang digunakan dalam merancang serta mencorak sesebuah dasar luar yang menjadi isi kandungan buku ini.

Bagi Valerie M. Hudson, analisis dasar luar merupakan keputusan yang telah dibuat oleh pembuat keputusan dengan merujuk kepada atau setelah mengetahui akibat kepada entiti luaran dalam bentuk percubaan mempengaruhi, tetapi juga keputusan yang menumpukan kepada domestik yang mempunyai ramifikasi terhadap entiti luaran.[16] Beliau turut mengenegahkan faktor idiosinkratik Rosenau dalam kajian analisis dasar luar dan dilihat sebagai salah satu faktor penting dalam pembentukkan sesebuah dasar luar. Faktor ini penting dalam penulisan ini untuk mengkaji dasar-dasar luar yang dilihat penting dalam politik antarabangsa.

Weistein, Franklin B.[17] memperlihatkan perubahan fasa baru dalam iklim politik Indonesia semasa pemerintahan Suharto dan selepas pengunduran pemimpin ini. Perihal ini menyaksikan bagaimana demokrasi mempengaruhi dasar luar Indonesia dan selain itu menganalisis secara sistematik polisi dasar luar Indonesia di dalam arus tekanan sistem antarabangsa dan tekanan politik domestik. Selain daripada itu, Franklin menerangkan dilemma yang dihadapi oleh Indonesia semasa peralihan kepimpinan daripada Presiden Sukarno kepada Suharto.

Sukarno dan Suharto dilihat jelas mempunyai ideologi yang berbeza dan seterusnya mempraktikkan ideologi mereka dalam membentuk hala tuju dasar luar Indonesia. Dalam hal ini, Sukarno dilihat bersimpati dengan pemimpin PKI dan tekanan-tekanan yang dialami dalam arena politik dometik menyebabkan Sukarno menyebelahi PKI dalam menentang kuasa Barat. Hal ini kerana kesan sejarah yang masih lagi mempengaruhi masyarakat di Indonesia kesan daripada penjajahan Belanda yang seterusnya membawa imej yang negatif kepada penduduk di Indonesia.

Suharto pula dilihat berbeza dimana cuba untuk membawa perubahan yang drastik dalam struktur masyarakat Indonesia. Dalam hal ini, Suharto dilihat berjuang dalam menjayakan matlamatnya dengan mengunakan pelbagai cara dan hal ini menyaksikan kontroversi dalam proses perlantikan Suharto. Keadaan politik yang dilihat tidak stabil di Indonesia dilihat sebagai masalah bagi kerajaan Order Lama. Order baru dilihat sebagai jalan penyelesaian dalam isu yang berkaitan mengenai politik, ekonomi, sosio-budaya dan lain-lain. Penulisan Weistein, Franklin B. Juga dilihat penting dan sering dijadikan oleh penulis-penulis yang fokus terhadap penulisan mengenai Negara Indonesia. Seperti Leo Suryadinata dan juga Dewi Fortuna Anwar yang sering menjadikan penulisan Franklin sebagai rujukan dalam menganalisis dasar luar Indonesia.

Dewi Fortuna Anwar[18] telah melihat Negara Indonesia dalam perspektif kerjasama dengan Negara serantau dan pertubuhan ASEAN. Dewi Fortuna Anwar telah menganalisa megenai Dasar luar daripada era Sukarno di awal idea penubuhan ASEAN sehinggalah keberlangsungannya semasa era Order Baru rejim Suharto. Selain itu, beliau menganalisis peranan ASEAN dalam pelbagai sudut seperti peranan dalam aspek Ekonomi, fungsi, ketenteraan “Military” dan kestabilan serantau.

Penulisan Dewi Fortuna Anwar dilihat bukanlah penulisan yang asing dalam politik, ekonomi serta dasar luar Indonesia. Seperti matlamat yang ingin dicapai oleh Indonesia sejak dahulu lagi yang inginkan sebuah negara Indonesia yang menyatukan seluruh nusantara melalui “konsep nusantara”. Dewi Fortuna Anwar dilihat menulis dengan melihat Indonesia dalam perspektif hubungan serantau. Hubungan serantau ini dikaitkan dengan hubungan Indonesia dengan Negara serantau dan seterusnya memperlihatkan kepentingan Indonesia dalam politik Asia Pasifik sebagai negara yang dilihat paling besar dan mempunyai penduduk paling ramai di rantau ini.

Penulisan lain yang berkaitan dalam menjadi rujukan kajian ini adalah seperti penulisan Mokhtar Muhammad.[19] Terdapat penulisan penting dalam kajian beliau seperti dalam bab 8 mengenai “Dasar Luar” dan bab 9 mengenai “Orientasi Dasar Luar”. Beliau banyak menyentuh mengenai definisi dasar luar, kepentingan sesebuah keputusan dasar luar serta Variabel-variabel yang mempengaruhi dasar luar seperti variabel ideosinkratik, variabel peranan, variabel birokratik, dan variabel nasional.

Mokhtar dilihat telah mengkaji dasar luar dan membahagikannya kepada bebeapa sub tajuk seperti dasar luar, faktor yang mempengaruhi dasar luar, orientasi dasar luar, dan orientasi variabel yang mempengaruhi dasar luar. Dalam hal ini dilihat sangat penting dalam membantu Kajian yang akan dilaksanakan.

Di antara penulisan lepas yang lain adalah seperti Adam Schwarz.[20] Dimana penulisan ini lengkap dalam mengkaji mengenai dasar-dasar yang pernah Suharto laksanakan dan perubahan politik di Indonesia sejak Suharto mengambil alih pentadbiran kerajaan Indonesia. Selain itu Adam Schwarz menulis mengenai Order Lama era Presiden Sukarno dan Order Baru era Presiden Suharto serta perdebatan mengenainya. Beliau banyak memfokuskan mengenai isu-isu seperti politik Indonesia, etnik, kekeluargaan era Orde Baru, isu Timor-Timur, Isu Islam di Indonesia dan demokrasi.

Kajian Adam Scwarz dilihat penting dalam mengkaji dasar luar indonesia kerana Kajian beliau secara tuntasnya menyentuh mengenai pelbagai aspek negara Indonesia 1990-an yang penting dalam mengkaji dasar luar Indonesia di bawah pentadbiran Suharto.

1.8 Method Kajian

Kajian ini mengunakan kaedah penyelidikan sekunder iaitu bedasarkan sumber kedua yang diperolehi daripada Buku, Jurnal, dan tesis-tesis lepas. Kajian ini melibatkan pengunaan bahan perpustakaan seperti Perpustakaan Negeri Sabah, Perpustakaan negeri Sarawak, Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah, Perpustakaan Penyelidikan Tun Fuad Stephen dan Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kota Kinabalu, Sabah.

1.9 Kesimpulan

Secara tuntasnya, kajian ini adalah mengenai analisis dasar luar Indonesia era Suharto 1967-1998 dan banyak menyentuh orientasi pembentukan dasar luar. Di samping itu juga, Analisis ini fokus terhadap dasar-dasar luar Indonesia yang penting dalam membentuk hala tuju Indonesia era Suharto dan faktor-faktor yang mempengaruhi dasar luar tersebut. Seperti kajian dasar luar yang lain, Kajian ini dilihat fokus terhadap beberapa faktor yang dilihat secara jelas mempengaruhi dasar luar negara sedang membangun seperti Indonesia. Faktor-faktor seperti idiosinkratik, domestik, dan sistemik amat memberi kesan terhadap negara dalam membentuk acuan dasar luarnya. Akan tetapi hal ini berbeza dengan dasar luar yang dilaksanakan oleh negara maju seperti Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah yang lebih komplek sifatnya. Selain itu juga, penulisan ini turut menyentuh mengenai keperibadian Suharto, kebangkitan dan keruntuhan rejim Suharto, GESTAPU/G30S “Gerakan Tiga Puluh September”, Order Baru, dan analisa dasar luar secara amnya.

1.10 Struktur Kajian

Ringkasan Bab Satu

Struktur kajian dalam penulisan ini dilihat membahagikan penulisan kepada empat bahagian besar iaitu bab1 sehingga bab4. Bab satu di dalam kajian ini mencakupi pengenalan terhadap kajian dimana sebagai kerangka kerja atau cadangan kerja / proposal. Dalam memenuhi keperluan cadangan penulisan, aspek-aspek seperti latar belakang kajian, objektif kajian, persoalan kajian, skop kajian, andaian asas kajian/proposisi, pendekatan teori, sorotan literatur, method kajian/ kaedah kajian, kesimpulan dan struktur kajian telah dimuatkan dalam bab satu. Perihal ini penting sebagai asas penulisan yang akan dilaksanakan.

Latar belakang kajian adalah sebagai mukadimah kajian dan penerangan secara sinopsis megenai kajian yang akan dilaksanakan iaitu menyentuh mengenai latar belakang dasar luar Indonesia era Suharto 1967-1998. Objektif kajian pula memperjelaskan matlamat-matlamat yang ingin dicapai dalam penulisan ini dan hal ini dilihat penting sebagai panduan penulisan dan menjadi landasan terhadap penulisan ini. Objektif yang disentuh adalah mengenai dasar-dasar luar Indonesia era Suharto dan analisis faktor-faktor yang telah mempengaruhinya. Selain itu, persoalan kajian turut dicakupi dalam bab satu dimana membincangkan sejauhmanakah faktor idiosinkratik, sistemik, dan domestik penting dan saling berkaitan dalam mempengaruhi dan menentukan dasar luar negara sedang membangun. Skop kajian dalam bab satu dilihat berfungsi dalam memperjelaskan mengenai skop yang dikaji iaitu semasa pentadbiran Suharto pada tahun 1967 sehingga 1998.

Seterusnya cadangan kajian ini turut menerangkan mengenai andaian asas kajian atau proposisi yang dilihat penting sebagai medium dalam memperkuatkan lagi kajian. Andaian asas ini dilihat penting dalam mencari jawapan yang akan dijawab dalam bab keempat iaitu bab kesimpulan. Seterusnya bab satu turut membincangkan mengenai pendekatan teori yang penting iaitu pendekatan teori “pre-theory” Rosenau yang dilihat bersesuaian dalam kajian ini. Pendekatan yang digunakan adalah seperti idiosinkratik, domestik dan sistemik yang dilihat saling berkaitan dalam pembentukan sesebuah dasar luar Indonesia.

Kajian-kajian lepas atau sorotan literatur turut dimuatkan dalam bab satu dimana kajian lepas ini amat berguna sebagai membantu penulisan ini. Method kajian atau kaedah kajian turut penting dalam kajian ini yang diletakkan dalam bab satu dimana kaedah kajian ini adalah mengenai kaedah yang digunakan oleh penulis dalam mendapatkan sumber untuk penulisan dan mendapatkan fakta bagi menyokong penulisan ini. Penulisan ini dilihat mengunakan sumber sekunder atau sumber kedua. Akhir sekali kajian dalam bab satu disimpulkan dalam kesimpulan yang membincangkan secara tuntas mengenai keseluruhan kajian ini secara ringkas dan padat.

Ringkasan Bab Dua

DASAR-DASAR LUAR INDONESIA ERA SUHARTO 1967-1998

Dalam bab dua, penjelasan mengenai beberapa penekanan penting dalam kajian dasar luar Idonesia era Suharto telah dijadikan sumber perbincangan. Bab 2.1 memperjelaskan mengenai pengenalan terhadap kajian yang dibuat iaitu mengenai kaitan kajian dengan yang dilaksanakan.

Seterusnya bab 2.2 menyentuh mengenai keperibadian Suharto secara kritis dan ini dilihat penting sebelum memulakan kajian mengenai dasar yang dilaksanakan. Seperti apa yang telah ditekankan dalam matlamat atau objektif kajian iaitu mengenai faktor idiosinkratik yang dilihat mempengaruhi dasar luar indonesia. Pengenalan terhadap keperibadian Suharto dilihat penting sebagai ukuran untuk meganalisis sejauhmanakah sifat peribadi dan latar belakang beliau yang dilihat akan mempengaruhi dasar luar Indonesia semasa era pemerintahannya. Seterusnya pada bab 2.3 akan menganalisis mengenai kebangkitan dan keruntuhan kepimpinan Suharto iaitu dimana hal ini dilihat adalah kesan daripada dasar yang dilaksanakan.

Seperti yang terkandung dalam persoalan kajian yang menyentuh mengenai sejauhmanakah kesan dasar luar Indonesia era Suharto dilihat memberi kesan terhadap politik, ekonomi dan sosial di Indonesia akan dijawab dalam bab ini. Hal ini kerana bangkit dan jatuhnya Presdien Suharto daripada 32 tahun pemerintahan telah memberi impak yang maksima terhadap rakyat Indonesia sejagat. Bab 2.4 pula memperbincangkan dasar-dasar luar Indonesia era Suharto secara ilmiah yang menjadi matlamat kajian ini. Pelbagai dasar-dasar luar yang penting dijadikan analisis dalam kajan dasar luar Indonesia.

Selain itu, bab 2.5 menjadi kesinambungan bab 2.4 dan dilihat sebagai perbincangan yang lebih mendalam mengenai dasar luar indonesia dan perkaitannya dengan Order Baru yang diperkenalkan oleh Suharto semasa pemerintahannya. Dasar Order Baru yang telah mengantikan Order Lama Presiden Sukarno dilihat sebagai asas terhadap pemerintahan Suharto dan penting untuk dianalisis. Seterusnya bab 2.6 iaitu mengenai aktor dasar luar Indonesia era Suharto dilihat sebagai penutup dalam bab kedua ini. Dalam kajian mengenai dasar luar Indonesia era Suharto, aktor yang terlibat dilihat amat penting untuk diketengahkan kerana aktor-aktor ini termasuklah Suharto sendiri dalam penjana kepada sesebuah pembentukan dasar luar.

Ringkasan Bab Tiga

FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI DASAR LUAR INDONESIA

Dalam bab ketiga, penulisan kajian ini menyentuh mengenai analisis faktor-faktor yang mempengaruhi dasar luar Indonesia semasa pemerintahan Suharto iaitu dari tahun 1967 hingga 1998. Faktor-faktor ini merupakan antara matlamat utama kajian iaitu menganalisis faktor yang dilihat penting dalam kajian dasar luar indonesia di bawah pentadbiran Suharto. Faktor-faktor ini telah diperjelaskan dalam pendekatan teori pada bab pertama. Pada bab 3.1 telah memperjelaskan mengenai pengenalan kepada analisis dasar luar secara khusus dalam memahami dengan lebih lanjut analisis dasar luar secara ilmiah. Bab 3.2 adalah mengenai analisis terhadap variabel-variabel atau pemboleh ubah yang mempengaruhi dasar luar. Perihal ini sebagai permulaan terhadap kajian mengenai faktor-faktor yang mempengaruhi dasar luar Indonesia yang ada pada bab 3.3. Bab 3.3 ini menyentuh mengenai faktor-faktor yang menjadi teori dalam kajian iaitu mengenai “pre-theory” Rosenau mengenai faktor idiosinkratik, domestik dan sistemik yang diperbincangkan dalam bab ini secara lebih terperinci.

Ringkasan Bab Empat

KESIMPULAN

Seterusnya adalah bab terakhir iaitu bab keempat yang memperincikan mengenai kesimpulan keseluruhan penulisan ini. Kajian ini disimpulkan dalam bab ini agar memudahkan pembaca dalam memahami kajian ini dengan lebih terperinci. Setiap bab turut disimpulkan secara tuntasnya dalam bab terakhir ini. Kajian ini secara kesimpulannya mempunyai empat bab yang dilihat mencakupi keseluruhan objektif kajian dan seterusnya cuba untuk menjawab andaian asas kajian berlandaskan pegangan teori yang telah ditetapkan. Selain daripada itu, bab kesimpulan ini memastikan objektif kajian tercapai. Bab keempat juga merungkai mengenai andaian asas yang dibuat samada terjawab ataupun sebaliknya.



[1] Valerie M. Hudson. (2007), Foreign Policy Analysis: Classic and Contemporary Theory. New York: Rowman and Littlefield. Hlm. 166-167.

[2] Muhammad, Mokhtar. (2005), Perhubungan Antarabangsa: Konsep & Konteks, Kuala Lumpur: Anzagain Sdn. Bhd. hlm. 46-66.

[3]Ibid.

[4] Valerie M. Hudson. (2007), Foreign Policy Analysis: Classic and Contemporary Theory. New York: Rowman and Littlefield. hlm. 127-128.

[5] Muhammad, Mokhtar. (2005), Perhubungan Antarabangsa: Konsep & Konteks, Kuala Lumpur: Anzagain Sdn. Bhd. hlm. . 50-52.

[6] Valerie M. Hudson. (2007), Foreign Policy Analysis: Classic and Contemporary Theory. New York: Rowman and Littlefield. hlm. 127-128.

[7] Suryadinata, Leo. (1998), Politik Luar Negeri Indonesia Di Bawah Soeharto. Jakarta; Pustaka LP3ES. hlm. 278.

[8] Ibid, hlm.4.

[9] Rosenau, James, N., (1980), The Scientific Study of Foreign Policy ( revised and enlarged edition), New York; Nicholas Publishing Co. hlm. 66.

[10] Suryadinata, Leo. (1998), Politik Luar Negeri Indonesia Di Bawah Soeharto. Jakarta; Pustaka LP3ES. hal. 3.

[11] Ibid, hlm 1-2.

[12] Joseph Chinyong Liow. (2005), The Politics of indonesia-Malaysia Relations; One Kin, Two Nations. London & New York; Routledge Curzon, Taylor & Francis Group. hlm. xi-xiii.

[13] Yazid, Mohd Noor. (2007), Hegemonic powers, Radical Politics & Developmental State: The Case of Indonesia-Malaysia Political Relations during the Cold War, Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah. hlm. 50.

[14] Michael R.J. Vatikiotis. (1993), Indonesia Politics under Suharto: Order, Development, and Pressure for Change, London & New York: Routledge.

[15] Valerie M. Hudson. (2007), Foreign Policy Analysis: Classic and Contemporary Theory. New York: Rowman and Littlefield. hlm. 225.

[16]Ibid, hal. 4.

[17] Weistein Franklin B. (1979), Indonesia Foreign Policy and the Dilemma of Dependence from Sukarno to Sueharto, Cornell University Press: Ithaca and London.

[18] Dewi Fortuna Anwar. (1994), Indonesia in ASEAN, Foreign Policy and Regionalism, New York: St Martin’s Press.

[19] Muhammad, Mokhtar. (2005), Perhubungan Antarabangsa: Konsep & Konteks, Kuala Lumpur: Anzagain Sdn. Bhd. hlm. 46.

[20] Schwarz, Adam. (1994), A Nation in Waiting: Indonesia in the 1990s, Sydney: Allen & Unwin Pty Ltd.

No comments:

Post a Comment